KOTA KINABALU: Pertarungan di kerusi DUN Bongawan mungkin hanya tertumpu kepada tiga calon ‘gergasi’ namun beberapa calon lain dijangka mampu mencipta kejutan sekiranya ‘undi pecah’ berlaku di kalangan parti-parti besar.
Tiga calon ‘gergasi’ dimaksudkan ialah penyandang kerusi berkenaan, Dr Daud Yusof daripada parti Warisan, bekas menteri, Datuk Tan Sri Anifah Aman daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Datuk Mohamad Alamin daripada Barisan Nasional.
Seorang calon yang namanya semakin meningkat naik di Bongawan ialah Peter Matinjal yang merupakan calon daripada parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).
Bekas pegawai polis itu menerima sambutan hangat setiap kali beliau mengadakan program dan perkembangan itu menjadikannya antara calon yang berpeluang mencipta kejutan.
Dalam salah satu programnya baru-baru ini yang dihadiri lebih 500 orang, Peter menyatakan yang rakyat Bongawan perlu berani melakukan perubahan dan PRU DU Sabah Ke-17 adalah adalah masa terbaik untuk melakukannya.
Katanya, beberapa calon di Bongawan sudah pernah menjadi wakil rakyat di kawasan itu dan masanya sudah tiba untuk memberi peluang kepada orang baharu.
Pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah Ke-17 (PRU DU Sabah Ke-17), Peter menawarkan tujuh manifesto yang dilaksanakan di Bongawan sekiranya beliau beri mandat menjadi wakil rakyat di situ.
Tujuh teras manifesto beliau merangkumi soal infrastruktur, pendidikan, sukan, pertanian dan perikanan, perumahan, kesihatan dan juga wanita.
“Saya yakin, tujuh manifesto yang saya tampilkan ini akan menjadikan Bongawan lebih sejahtera dan maju.
“Jika saya diberi mandat, saya akan pastikan semua ini (manifesto) ini dilaksanakan, ini bukan hanya berjanji,” katanya.
Kerusi DUN Bongawan menyaksikan pertandingan sembilan penjuru iaitu selain Daud, Mohamad, Anifah serta Peter, lima calon lain ialah Dolores Michael daripada STAR, Ridzuan Firdaus (Perikatan Nasional), Royston Adven (Pari Impian Sabah), Hussin Dasar (Parti Perpaduan Rakyat Sabah) serta Md Haris Md Tahir (Bebas). – Info X