KOTA KINABALU: Seramai 1,742,934 orang pengundi bakal mengundi pada Pilihan Raya Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17, esok.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Khairul Shahril Idrus, berkata jumlah itu akan menunaikan tanggungjawab di 882 Pusat Mengundi membabitkan sebanyak 3,559 Saluran bermula jam 7.30 pagi hingga 5.30 petang.
“Seramai 28,533 orang petugas akan bertugas bagi proses pengundian ini nanti. Bagi PRU Sabah Ke-17 ini, sebanyak 882 Pusat Mengundi dan 3,559 Saluran akan dibuka untuk tujuan pengundian.
“Seramai 1,742,934 orang pengundi bakal mengundi dalam PRU Sabah kali ini. SPR berharap semua pengundi menjalankan tanggungjawab mereka dengan keluar mengundi,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sementara itu, katanya SPR menyediakan lebih daripada satu peti undi di saluran pusat mengundi bagi kawasan yang berlaku pertembungan ramai calon.
Katanya, bagi kawasan DUN yang menyaksikan pertembungan antara tujuh hingga 12 calon, dua peti undi disediakan di saluran yang mempunyai lebih 450 pengundi.
Bagi kawasan yang menyaksikan pertembungan 13 hingga 14 penjuru pula, katanya dua peti undi disediakan di saluran yang kurang 450 pengundi, manakala tiga peti undi di saluran yang melebihi 450 pengundi.
“Penggunaan lebih daripada satu peti undi ini adalah kerana saiz kertas undi yang besar dan memerlukan ruang yang mencukupi untuk memuatkan semua kertas undi yang telah ditanda oleh pengundi pada Hari Mengundi,” katanya. – Info X