Search

Syabu dalam konsol gear terbongkar

December 3, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Helah dua lelaki menyorokkan syabu di bahagian tengah konsol gear sebuah kereta akhirnya terbongkar apabila mereka ditahan polis dalam Op Tapis di Jalan Kuhara, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Tawau melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan mencurigakan di Jalan Kuhara sebelum menemui dua lelaki tempatan berusia 34 dan 41 tahun di dalamnya.

Pemeriksaan lanjut kemudian menemukan dua paket syabu yang disorok rapi di bahagian tengah konsol gear, dipercayai bagi mengaburi pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pemeriksaan lanjut mendapati bahan terlarang berkenaan seberat 5.30 gram dengan nilai anggaran RM350.

“Kedua-dua suspek ditahan dan dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Jasmin turut memberi peringatan keras bahawa polis tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana individu yang terlibat dengan najis narkotik, sambil menyeru masyarakat terus menyalurkan maklumat sekiranya mengesan aktiviti mencurigakan di kawasan masing-masing. – Info X