Search

Operasi cari nelayan hilang di perairan Nunuyan ditamatkan

December 4, 2025

Info X Reporters

SANDAKAN: Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) bagi mengesan seorang lagi nelayan yang hilang di perairan Pulau Nunuyan sejak 28 November lalu ditamatkan pada jam 6 petang semalam selepas usaha pencarian memasuki hari keempat tanpa sebarang petunjuk baharu.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, siasatan awal mendapati pihaknya menerima laporan berhubung penemuan papan tunda dan pukat kira-kira 8.1 batu nautika di utara Pulau Nunuyan sebelum pemilik bot mengesahkan peralatan itu milik bot yang dilaporkan hilang.

Katanya, seorang daripada dua kru bot terbabit, berusia 24 tahun ditemukan meninggal dunia di dalam bot yang karam oleh Penyelam Pasukan Tindakan Khas (STAR Team) Maritim Malaysia. Namun seorang lagi kru, berusia 32 tahun warga Indonesia, masih belum ditemukan.

“Keadaan laut yang bergelora sepanjang operasi menyukarkan pergerakan aset untuk memasuki beberapa sektor pencarian. Sebanyak 16 aset digerakkan melibatkan Maritim Malaysia, TLDM, PDRM, JBPM, APM serta komuniti maritim.

“Pencarian merangkumi keluasan 492 batu nautika persegi, namun sehingga hari keempat tiada sebarang penemuan baharu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa keluar menangkap udang pada 22 November, namun laporan kehilangan hanya diterima enam hari kemudian.

“Tempoh kehilangan melebihi 12 hari turut menjadi faktor yang dipercayai mengurangkan potensi penemuan mangsa kedua,” katanya.

Walaupun operasi ditamatkan, Muhamad Suhairy menjelaskan bahawa rondaan rutin Maritim Malaysia akan terus memantau kawasan lokasi insiden dan operasi Carilamat boleh diaktifkan semula sekiranya terdapat perkembangan baharu.

Sementara itu, Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Kota Kinabalu mewakili Pengarah Maritim Negeri Sabah dan W.P. Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali, merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat atas kerjasama sepanjang operasi.

“Maritim Malaysia turut menasihati komuniti maritim supaya sentiasa mengutamakan keselamatan ketika turun ke laut termasuk memakai jaket keselamatan, memastikan peralatan komunikasi berfungsi dan bot berada dalam keadaan baik.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden boleh menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Sandakan di talian 089-221923,” katanya. – Info X