TAWAU: Seorang pemandu lori maut selepas kenderaan muatan 10 tan yang dipandunya terbabas sendiri di bahu jalan di Jalan Sri Apas, di sini, tengah hari tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.37 tengah hari sebelum satu jentera dari BBP Tawau digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, pasukan bomba tiba pada jam 12.58 tengah hari selepas melalui perjalanan sejauh 23 kilometer.
“Sebaik tiba, kami mendapati mangsa lelaki berusia 58 tahun tersepit di bahagian kabin lori. Pasukan penyelamat kemudian menjalankan operasi mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas.
“Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.04 petang selepas keadaan lokasi disahkan selamat.
Operasi menyelamat membabitkan tujuh anggota BBP Tawau bersama satu jentera FRT dan satu EMRS, dibantu dua anggota KKM serta lima anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM). – Info X