KOTA KINABALU: Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC) bakal memulakan projek utiliti mengggunakan turbin angin yang pertama di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEC, Datuk Ir Adzmir Abd Rahman, berkata projek itu bakal dilaksanakan di utara Sabah.
Katanya, turbin angin adalah antara projek tenaga boleh baharu yang dirancang syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) itu selepas Projek Hidroelektrik Ulu Padas yang sedang dilaksanakan.
“Sejak beberapa tahun lalu, anda telah menyediakan liputan yang seimbang terhadap projek besar SEC seperti Projek Hidroelektrik Ulu Padas yang akan menjadi asas utama dalam mengukuhkan landskap tenaga boleh baharu Sabah.
“Tidak lama lagi, kita juga akan memulakan satu lagi tonggak bersejarah, iaitu projek turbin angin yang pertama di Malaysia yang akan dilaksanakan di utara Sabah.
“Ini bukan langkah yang kecil tetapi satu anjakan untuk masa depan tenaga Sabah,” katanya pada Majlis Apresiasi Media SEC, di sini, pada malam Khamis.

Yang turut hadir Pengerusi SEC, Datuk Annuar Ayub.
Adzmir berkata, SEC menghargai peranan media dalam menyebar luas aktiviti yang dilaksanakan syarikat berkenaan menerusi laporan yang jitu dan bertanggungjawab.
Beliau berkata, SEC juga komited untuk memastikan komunikasi yang telus, terbuka dan membina dengan media.
Terdahulu, Adzmir berkata media memainkan peranan penting, khususnya dalam landskap yang memerlukan ketepatan, keadilan dan kredibiliti.
“Kita menghargai profesional yang anda tegakkan setiap kali melaporkan isu yang memberi kesan kepada negeri dan masa depannya, termasuk cerita berkaitan aktiviti perniagaan SEC. – Info X