Search

Tahun Melawat Sabah pada 2027

December 12, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri merancang untuk menganjurkan Tahun Melawat Sabah 2027 sebagai usaha untuk melonjakkan sektor pelancongan negeri itu.

Sejajar dengan pelaksanaan program itu, industri pelancongan Sabah menerima suntikan dana berjumlah RM174.45 juta kepada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri dalam Belanjawan Sabah tahun depan.

Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata inisiatif itu bukan saja memberi impak ekonomi, malah turut menyumbang kepada pemuliharaan nilai warisan budaya serta kelestarian alam semula jadi.

“Seiring dengan pengisytiharan Tahun Melawat Malaysia 2026, Kerajaan Sabah akan mempergiat inisiatif, program dan acara berimpak tinggi bagi menarik
lebih ramai pelancong ke Sabah.

“Antara lain usaha yang dirancang termasuk penganjuran Festival Budaya dan Alam Semula Jadi berskala besar, promosi Pelancongan Berasaskan Komuniti serta pengukuhan kempen pemasaran digital bagi menarik lebih ramai pelancong antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, bagi mengekalkan momentum positif dari Tahun Melawat Malaysia 2026, Kerajaan Sabah sedang dalam peringkat perancangan untuk menganjurkan ‘Tahun Melawat Sabah 2027’.

Penganjuran itu katanya dijangka akan menjadi pemangkin utama dalam memperkukuh jenama Sabah sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia serta memastikan kesinambungan pertumbuhan industri pelancongan yang mampan dan inklusif.

Katanya, ekopelancongan, keunikan identiti budaya, kekayaan warisan, serta keindahan alam semula jadi menjadi kekuatan sebenar yang ada kepada Sabah.

“Untuk makluman, siling peruntukan yang diluluskan kepada Kementerian ini di bawah RMKe-13 adalah sebanyak RM493.02 juta dengan 53 projek pembangunan merangkumi 19 projek sambungan dan 34 projek baharu.

“Antara projek yang akan dilaksanakan di bawah RMKe-13 adalah Kajian Pembinaan Muzium Baharu Sabah; Penubuhan Kota Kinabalu Performing Arts Centre (KKPAC); pembinaan Arte Museum (Digital Museum); pembinaan Galeri Marin di Taman Tun Mustapha Kudat dan peningkatan kemudahan pelancongan di Pulau Bohey Dulang, Semporna.

Selain itu, katanya Kerajaan Sabah juga akan menambah baik fasiliti dan infrastruktur sedia ada yang melibatkan peruntukan sebanyak RM38.7 juta.

Antara projek utama yang akan dilaksanakan pada tahun depan, katanya ialah Menaik Taraf Kemudahan Di Petagas War Memorial Park; Pembinaan Muzium Etnik Ranau; Menaik Taraf Pusat Kebudayaan Penampang dan Peningkatan Produk Pelancongan di Pusat Kebudayaan Murut Tenom. – Info X