Search

Final Piala FA: Bantu Sabah FC rangkul piala – MBS

December 12, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Majlis Belia Sabah (MBS) menyeru seluruh rakyat Sabah, khususnya belia untuk sama-sama menyokong Sabah FC yang akan beraksi di final Piala FA menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Ahad ini.

Presiden MBS, Abqaree Fawwaz Abekan, berkata perlawanan bersejarah itu adalah peluang terbaik untuk rakyat Sabah menunjukkan solidariti kepada pasukan negeri yang kini tinggal selangkah untuk membawa pulang kejuaraan selepas 27 tahun.

“Ini bukan sekadar perlawanan bola sepak. Ini adalah perlawanan maruah, identiti dan kebanggaan rakyat Sabah. Kita telah menanti selama 27 tahun untuk saat ini.

“Kami di MBS menggesa seluruh belia agar mengibarkan bendera, memakai warna kebanggaan Sabah dan menyokong Sabah FC tanpa mengira di stadium atau di mana sahaja mereka berada,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Pada masa sama Abqaree berkata sukan bola sepak adalah platform terbaik untuk menyatukan rakyat pelbagai kaum, agama dan latar belakang.

Jelasnya, kejayaan Sabah FC akan menjadi inspirasi besar kepada golongan muda, khususnya dalam membina keyakinan, disiplin dan semangat berpasukan.

“Apabila Sabah FC beraksi, seluruh Sabah bersatu. Inilah kekuatan kita. Saya mengajak seluruh rakyat, terutama belia, untuk menjadikan final ini sebagai simbol penyatuan dan kebanggaan kita bersama.

“Sabah FC telah menunjukkan kerja keras yang luar biasa sepanjang musim. Kini tiba masanya kita membantu mereka mengorak langkah terakhir.

“Dengan semangat dan sokongan padu rakyat Sabah, saya yakin Sabah FC mampu mencipta sejarah pada Ahad ini,” katanya.

Beliau turut menasihatkan semua penyokong agar menjaga disiplin, mengutamakan keselamatan dan mengamalkan sorakan positif sama ada di stadium atau di lokasi tontonan awam di seluruh negeri. – Info X