KOTA KINABALU: Kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berhubung kemungkinan besar Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kinabatangan dan Lamag disifatkan sebagai langkah tepat tepat demi menjamin kestabilan politik negeri.
Aktivis politik pro GRS, Aksyah Nasrah, berkata pendirian itu wajar memandangkan Kerajaan Perpaduan Sabah yang baru saja dibentuk hasil kerjasama GRS bersama Barisan Nasional (BN), parti lain dan ADUN Bebas pada 30 November lalu memerlukan suasana politik yang tenang dan stabil.
“Perkara ini amat tepat kerana kerajaan perpaduan yang dibentuk masih berada pada fasa awal dan memerlukan kesepakatan antara rakan gabungan bagi memastikan pentadbiran berjalan lancar,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Aksyah berkata, langkah memberi laluan kepada BN pada PRK itu bukan bermakna GRS mengalah atau berundur secara mutlak, sebaliknya satu pendekatan strategik yang mengambil kira situasi politik semasa.
“Ini bukan keputusan selama-lamanya. Kerajaan hari ini bukan terbina atas kerjasama politik jangka panjang, tetapi gabungan blok politik Sabah untuk membentuk kerajaan negeri. Maka, pertimbangan politik perlu dibuat secara berhemah,” katanya.
Beliau turut menyifatkan cadangan Hajiji itu sebagai tindakan berundur setapak bagi memberi penghormatan, khususnya susulan pemergian Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang meninggalkan kesan besar dalam landskap politik negeri.
Dalam masa sama, Aksyah menegaskan pembentukan Kerajaan Perpaduan GRS Plus menunjukkan keutamaan Hajiji kini adalah memastikan kestabilan politik Sabah.
Katanya, pembentangan Belanjawan Sabah 2026 pada Jumaat lalu pula menjadi platform penting untuk melaksanakan manifesto dan janji kepada rakyat.
“Keadaan politik yang tenang amat diperlukan ketika ini supaya halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 dapat dilaksanakan seperti dirancang. Fokus kerajaan harus diberikan kepada pembangunan dan kebajikan rakyat, bukan polemik politik,” katanya.
Sehubungan itu, Aksyah menegaskan cadangan Pengerusi GRS berkenaan wajar disokong semua pihak demi kepentingan negeri dan kesejahteraan rakyat Sabah.
Pada Selasa, Hajiji menyatakan kemungkinan besar GRS tidak meletak calon pada PRK Kinabatangan dan Lamag, namun keputusan rasmi hanya diketahui selepas pemimpin GRS membincangkan perkara itu. – Info X