TAWAU: Seorang pengawal keselamatan warga asing ditahan selepas disyaki bertindak ganas memukul isterinya hingga mengalami kecederaan dalam kejadian di Bukit Quoin, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa, seorang wanita berusia lingkungan 40-an yang tampil ke balai polis bagi mendapatkan perlindungan selepas kejadian berkenaan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang juga suri rumah mengalami kecederaan di bahagian lengan dan kaki dipercayai akibat dipukul suaminya susulan pertengkaran dan salah faham antara mereka.
“Tidak tahan menjadi mangsa keganasan rumah tangga, wanita itu nekad membuat laporan polis bagi mendapatkan tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Jasmin berkata, bertindak atas laporan diterima, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tawau menjalankan siasatan sebelum menahan suspek lelaki warga asing berusia 45 tahun di sebuah perumahan ladang di Bukit Quoin pada hari sama.
“Suspek kemudian dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut dan ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes keganasan rumah tangga.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan serta Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994,” katanya. – Info X