KOTA KINABALU: Kerajaan digesa untuk mempertimbangkan semula pemotongan elaun insentif serantau Bayaran Insentif Wilayah (BIW) untuk doktor dan ahli farmasi yang berpindah ke Malaysia Timur.
Gesaan itu sibuat Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) cawangan Sabah yang memberi amaran bahawa pemotongan elaun itu boleh menghalang profesional perubatan daripada berkhidmat di Sabah dan Sarawak.
Pengerusinya, Dr Brandon Patrick Senagang berkata Sabah, Sarawak dan Labuan sudah bergelut untuk menarik dan mengekalkan petugas kesihatan, dan dasar yang disemak semula itu berisiko memburukkan lagi kekurangan perkhidmatan kritikal.
Katanya, pemotongan yang tinggi sedemikian hanya akan memburukkan lagi situasi yang sedia ada yang teruk dengan kekurangan profesional perubatan, sekali gus menjejaskan kualiti penjagaan pesakit.
Bermula pada Disember 2024, pegawai perubatan yang baru dilantik yang ditempatkan di Sabah, Sarawak dan Labuan menerima elaun BIW yang dikurangkan dengan ketara berbanding pegawai senior mereka, yang ditetapkan pada RM360 setiap bulan untuk gred tertentu di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam yang baru.
Sebuah portal semalam melaporkan bahawa sebelum skim BIW yang disemak semula, pegawai perubatan gred UD14 menerima elaun bulanan RM1,000.
Dr Brandon berkata, elaun itu bukan sekadar faedah kewangan, tetapi pengiktirafan terhadap kos dan cabaran yang berkaitan dengan penempatan semula dan perkhidmatan di kawasan di mana penyampaian penjagaan kesihatan dipengaruhi oleh jarak, logistik dan batasan sumber.
“Apabila doktor muda menyedari bahawa sistem kurang bersedia untuk mengiktiraf beban perkhidmatan yang sebenar di Malaysia Timur, ia diterjemahkan kepada kesediaan yang berkurangan untuk menerima penempatan dan pengekalan yang lebih lemah,” katanya.
Menurutnya, MMA Sabah mahukan Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Kewangan untuk segera menyemak semula keputusan tersebut, memberi amaran bahawa kekurangan tenaga kerja boleh menjadi lebih teruk jika insentif dilemahkan.
“Ini bukanlah seruan untuk layanan istimewa. Ia adalah seruan untuk reka bentuk dasar yang saksama.
“Melindungi insentif yang menyokong kakitangan di Sabah, adalah melindungi kesihatan rakyat Sabah,” katanya. – Info X