KOTA KINABALU: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI), Datuk Jamawi Jaafar menggesa Korporasi Pembangunan Desa (KPD) supaya terus komited melaksanakan projek-projek berimpak tinggi yang menyumbang kepada pengeluaran makanan serta menjamin keselamatan makanan negeri.
Beliau berkata, KPD perlu memperkukuh pelaksanaan projek yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat tani luar bandar, khususnya dalam usaha meningkatkan pendapatan serta memastikan kecukupan bekalan makanan di Sabah.
Menurutnya, program-program KPD yang berteraskan Program Perladangan Kontrak dan melibatkan penyertaan kumpulan sasar luar bandar wajar terus diperkasakan serta diperluaskan.
“Peserta KPD terlibat dalam pelbagai aktiviti pertanian dan penternakan termasuk projek cendawan, penternakan ayam pedaging dan ayam kampung, lebah madu serta tanaman pomelo yang dikenal pasti berpotensi menjana pendapatan tambahan,” katanya.
Jamawi berkata, aktiviti berkenaan bukan sahaja perlu ditingkatkan dari segi bilangan dan kapasiti pengeluaran, malah diperluaskan ke kawasan baharu serta melibatkan lebih banyak aktiviti tanaman dan ternakan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Apresiasi KPD 2025 di Dewan Hakka, Tanjung Lipat, Likas, malam tadi.
Sehubungan itu, beliau berkata KPD perlu melaksanakan penilaian dan penambahbaikan secara berterusan terhadap program yang memberi impak langsung kepada peningkatan ekonomi peserta dan kecukupan bekalan makanan keluarga.
Menurutnya, lebihan hasil tanaman daripada kebun dapur berpotensi dijual untuk menjana pendapatan tambahan serta menjadi bekalan kepada lapan Pusat Pengumpulan Hasil Tani KPD (APCC) yang kini beroperasi di Beaufort, Kota Marudu, Keningau, Kundasang, Telupid, Lahad Datu, Tambunan dan Kampung Togudon Moyog di Penampang.
Beliau berkata, dua lagi APCC baharu iaitu di Nabawan dan Tenom dijadualkan mula beroperasi pada tahun 2026 bagi membeli hasil tani daripada petani di kawasan terlibat.
Jamawi berkata pembinaan APCC oleh KPD amat relevan sebagai saluran alternatif pemasaran hasil pertanian, khususnya dalam menyokong pembangunan sektor pertanian negeri.
Dalam pada itu, beliau berkata golongan tani perlu terus dibantu dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa serta kenaikan kos input pertanian.
Beliau turut berharap lebih ramai golongan muda tampil menceburi sektor pertanian dan menjadi usahawan tani yang berjaya.
Pada majlis itu, Jamawi turut merakamkan penghargaan kepada pengurusan KPD atas sumbangan sebanyak RM1 juta kepada Kerajaan Negeri. – Info X