Search

Dipukul guna topi keledar di pondok bas, suspek diberkas

December 24, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Seorang lelaki tempatan ditahan polis selepas disyaki terbabit kes memukul seorang lelaki menggunakan topi keledar di sebuah pondok bas di Batu 4, Jalan Apas, di sini, Selasa lalu.

Dalam kejadian itu, mangsa yang sedang menunggang motosikal bersama seorang wanita dikatakan ditahan oleh seorang kenalan sebelum diserang menggunakan topi keledar hingga mengalami kecederaan dan kesakitan di beberapa bahagian tubuh.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu sebelum sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tawau menjalankan siasatan lanjut.

“Susulan laporan diterima, polis berjaya mengesan dan menahan seorang suspek lelaki warga tempatan berusia 36 tahun di Kampung Batu Payung, di sini.

“Polis turut merampas sebuah topi keledar berwarna hitam yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, hasil semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan penyalahgunaan dadah, manakala motif kejadian masih dalam siasatan.

“Suspek bersama barang rampasan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya. – Info X