KOTA KINABALU: Lima pintu masuk negeri ini menjadi lokasi sambutan pelawat sempena Visit Malaysia 2026 (VM2026) yang bermula hari ini, 1 Januari 2026.
Lokasi terbabit ialah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Lapangan Terbang Sandakan, Lapangan Terbang Tawau, Lapangan Terbang Lahad Datu dan Terminal Feri Tawau.
Majlis sambutan itu dilaksanakan menerusi kerjasama Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri dan Tourism Malaysia.
Di KKIA, sambutan pelawat diketuai Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Jafry Ariffin.
Beliau berkata, penyertaan Sabah dalam VM2026 membawa makna strategik yang lebih luas dan melangkaui aspek promosi semata-mata.
“VM2026 bukan sekadar kempen pelancongan, sebaliknya satu kerangka penyelarasan nasional. Sambutan simbolik di Negeri Sabah ini menjadi platform penting untuk menilai tahap kesiapsiagaan negeri yang merangkumi aspek infrastruktur, hospitaliti, penglibatan komuniti serta kelestarian alam sekitar sebagai persediaan menuju pelaksanaan Tahun Melawat Sabah 2027,” katanya.

Ketibaan pelawat terawal di lokasi terpilih disambut dengan pelbagai persembahan kebudayaan termasuk persembahan pemuzik jalanan dan persembahan kontemporari yang menampilkan elemen warisan negara di samping penampilan maskot rasmi VM2026, Wira dan Manja.
Pelawat turut menerima cenderamata bertemakan VM2026, termasuk rantai kunci eksklusif maskot kempen menjadikan percutian di Malaysia sempena VM2026 satu pengalaman unik dan sukar dilupakan.
Kalendar acara VM2026 turut diperkenal yang menampilkan lebih 300 program dan acara sepanjang tahun merangkumi elemen seni dan budaya, warisan serta kepelbagaian kaum melalui sambutan dan tradisi perayaan di Malaysia.
Antara acara utama yang diketengahkan ialah VM2026 Chinese New Year Festival, VM2026 Aidilfitri Festival, VM2026 Deepavali Festival, VM2026 Christmas Fest dan keunikan perayaan tradisi tempatan seperti Pesta Kaamatan (Tadau Kaamatan) dan Pesta Gawai.
Menerusi kempen VM2026, Malaysia menyasarkan untuk menarik 43 juta pelawat antarabangsa pada 2026, selari dengan usaha berterusan memperkukuh sektor pelancongan sebagai salah satu pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara.
Setakat November 2025, Malaysia merekodkan 38.3 juta pelawat antarabangsa sejak Januari tahun lalu. – Info X