Search

Banjir: Keselamatan penduduk diutamakan – Mustapha

January 4, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud memberi keutamaan terhadap usaha memastikan keselamatan penduduk terjejas akibat banjir yang melanda beberapa kawasan rendah di Parlimen Sepanggar.

Beliau yang turun memantau situasi banjir dan proses pemindahan mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Masjid Al-Munir, Kampung Darau tengah malam tadi, berkata tumpuan juga diberikan terhadap pemantauan paras air.

Pada masa sama katanya, usaha menyelaras tindakan susulan bersama agensi berkaitan agar bantuan dapat disampaikan dengan cepat dan berkesan juga diberikan perhatian.

“Walaupun jam sudah menunjukkan 12.45 tengah malam, usaha meninjau keadaan penduduk Parlimen Sepanggar tetap diteruskan.

“Malam ini, saya turun meninjau kawasan-kawasan yang terjejas banjir untuk melihat sendiri situasi semasa, tahap keselamatan penduduk serta keperluan segera yang perlu diberi perhatian.

“Keutamaan ketika ini adalah memastikan keselamatan penduduk, memantau paras air dan menyelaras tindakan susulan bersama agensi berkaitan agar bantuan dapat disampaikan dengan cepat dan berkesan,” katanya di akaun Facebook beliau.

Mustapha meninjau situasi banjir dan pemindahan mangsa di Manggatal.

Ahli Parlimen Sepanggar itu turut memohon agar warga Sepanggar sentiasa berhati-hati, mematuhi arahan pihak berkuasa dan segera berpindah ke tempat selamat jika keadaan banjir bertambah buruk.

“Terima kasih kepada semua petugas lapangan, sukarelawan dan agensi yang terus bertugas tanpa mengira waktu,” katanya.

Banyak kawasan rendah di Parlimen Sepanggar, khususnya di Manggatal, Inanam dan Kolombong terjejas akibat banjir berikutan hujan lebat berterusan pada Sabtu.

Ends