KENINGAU: Sebuah rumah kediaman dan sebuah kafe musnah dalam kebakaran di Kampung Bakiau, di sini, tengah hari tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Severinus @ Mohd Nidzam Sainkui, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.18 tengah hari.
Katanya, seramai 11 anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira tiga kilometer dari balai.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis tidak kekal yang musnah sepenuhnya dan sebuah kafe jenis kekal yang terbakar kira-kira 90 peratus, dipercayai bermula dari rumah sebelum merebak ke bangunan bersebelahan,” katanya.

Beliau berkata, operasi pemadaman berjaya dikawal dalam beberapa minit dan tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.08 petang,” katanya. – Info X