Search

Tukang cat warga asing serang, ugut bunuh lelaki tempatan

January 4, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Hasrat seorang lelaki untuk mendapatkan penjelasan bertukar mimpi ngeri apabila dia diserang dan diugut bunuh oleh seorang lelaki warga asing bersenjata tajam di Kampung Hidayat, Batu 4, Jalan Apas, di sini, September lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, mangsa berusia 30 tahun didatangi seorang lelaki tidak dikenali yang bertanyakan mengenai individu dipercayai memukul adiknya.

Tanpa diduga, suspek tiba-tiba bertindak agresif dengan menendang betis kanan mangsa sebelum melibas objek tajam ke arah dada mangsa, mengakibatkan kecederaan, selain menghamburkan ugutan bunuh.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, laporan diterima sebelum sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) digerakkan untuk menjalankan siasatan terperinci.

“Hasil risikan membawa kepada penahanan suspek berusia lingkungan 20-an kira-kira jam 6 petang semalam.

“Suspek yang bekerja sebagai tukang cat ditahan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Air, Batu 4, Jalan Apas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan berkaitan ugutan jenayah.

“Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki berada di negara ini tanpa dokumen sah,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh membahayakan keselamatan.

Beliau turut menggesa orang ramai agar segera melaporkan sebarang kejadian jenayah kepada pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan tegas diambil mengikut undang-undang. – Info X