KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menyifatkan kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Warisan mengaitkan peningkatan penduduk bukan warganegara di Sabah dengan isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) sebagai mengelirukan.
Menerusi satu kenyataan, di sini, pergerakan itu menegaskan kenyataan ADUN terbabit tidak berlandaskan tafsiran data rasmi Jabatan Perangkaan (DOSM).
Sebaliknya, Pemuda Gagasan Rakyat berkata istilah itu merangkumi Pendatang Asing Dengan Izin (PADI) seperti pekerja asing berpermit sah, pemegang pas kerja sementara, pelajar dan tanggungan, selain PATI.
“Hakikatnya, PADI membentuk majoriti, manakala PATI hanyalah sebahagian kecil, tidak seperti gambaran mengelirukan pemimpin Warisan.
“Peningkatan angka ini turut dipengaruhi oleh pemulihan pasca COVID-19, migrasi ekonomi ke bandar utama seperti Kota Kinabalu serta pelaksanaan Pendataan Digital Warga Asing di Sabah sejak dua tahun lalu.
“Pendataan ini tidak mewujudkan kemasukan baharu, sebaliknya mendedahkan jumlah sebenar pekerja sedia ada yang sebelum ini tidak direkod secara telus,” katanya.
Pergerakan itu menyifatkan cubaan Warisan memutar belit data jelas menunjukkan usaha menutup rekod lama mereka dalam isu PATI.
“Rakyat Sabah tidak memerlukan tajuk sensasi, sebaliknya penjelasan berfakta dan penyelesaian sebenar.
Pemuda Gagasan Rakyat kekal konsisten terhadap isu keselamatan dan kedaulatan negeri mesti ditangani melalui data yang tepat, penguatkuasaan berkesan dan dasar yang bertanggungjawab, bukan permainan persepsi politik,” katanya.
Sebelum ini, empat ADUN Warisan mewakili kawasan sekitar bandar raya Kota Kinabalu menerusi satu kenyataan bersama berkata Kota Kinabalu merekodkan peningkatan populasi warga asing yang ketara dengan seramai 125,400 orang berdasarkan statistik DOSM yang dikeluarkan pada 24 Disember lalu.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan ADUN Api-Api, Loi Kok Liang, Samuel Wong (Luyang), Edna Majimbun (Inanam) dan Chin Tek Ming (Kapayan).
Mereka mendakwa angka itu menyaksikan pertambahan yang agak besar dengan 46,300 orang bersamaan dengan 58.5 peratus berbanding 79,100 pada 2021.
“Peningkatan yang sangat ketara ini juga agak mengejutkan memandangkan polisi Kerajaan GRS-PH yang dipimpin Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor sejak 2020 adalah untuk mengurangkan jumlah warga asing dan penduduk bukan warga negara di Sabah.
“Apa yang lebih membimbangkan, jumlah ini terus bertambah bermula dari tahun 2022 seramai 79,100 kepada 81,700 pada 2023. Namun, peningkatan yang amat drastik berlaku pada 2024 iaitu seramai 121,800 dengan penambahan 21,700,” kata mereka pada Sabtu.
Mereka berkata, berdasarkan rekod DOSM itu, Kota Kinabalu adalah daerah ketiga selepas Sandakan (195,100) dan Tawau (142,900) mempunyai populasi penduduk bukan warga negara tertinggi di Sabah. – Info X