KOTA KINABALU: Seramai 1,224 mangsa banjir membabitkan 433 keluarga masih berada di pusat pemindahan di dua daerah terjejas banjir setakat pagi Khamis.
Jumlah itu masing-masing seramai 661 mangsa di Beaufort dan 563 orang di daerah Tenom berikutan keadaan banjir yang belum pulih di dua daerah terbabit.
Mangsa ditempatkan di tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan sebuah Pusat Pemindahan Kekal (PPK) di Beaufort, manakala di Tenom membabitkan sebanyak lima PPS.
Banjir sebelum ini turut menjejaskan penduduk di Kota Belud dan Kota Kinabalu, namun keadaan di daerah terbabit dilaporkan sudah pulih dan mangsa dibenarkan pulang.
Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, pemindahan mangsa membabitkan sebanyak 14 kampung terjejas banjir, iaitu sembilan di Beaufort dan lima kampung di Tenom. – Info X