Search

Penduduk bukan warga negara turun 0.32 peratus di Sabah pada 2025 – DOSM

January 8, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah merekodkan penurunan penduduk Bukan Warganegara kepada 1,040.2 ribu (1.04 juta) orang pada 2025 berbanding 1,043.6 ribu(1.043 juta) orang pada 2024.

Menerusi satu kenyataan pada Khamis, Jabatan Perangkaan (DOSM), berkata penurunan itu membabitkan pengurangan 0.32 peratus.

Katanya, data itu berdasarkan penerbitan Statistik Migrasi Antarabangsa 2025 yang dikeluarkan DOSM pada 24 Disember 2025.

Bagi tempoh 1991 hingga 2025, katanya Sabah merekodkan bilangan penduduk Bukan Warganegara tertinggi berbanding negeri lain dengan peratusan tertinggi dicatatkan pada 1991 iaitu 56.5 peratus (453.47 ribu).

“Bilangan penduduk Bukan
Warganegara tertinggi direkodkan pada 2018 iaitu seramai 1,158.7 ribu orang.

Statistik penduduk bukan warga negara. – DOSM

“Pada tahun 2025, bilangan penduduk Bukan Warganegara dianggarkan seramai 1,040.2 ribu orang, namun jumlah ini masih tidak melebihi bilangan yang dicatatkan pada 2018,” katanya.

Menurut DOSM, tempoh 2020-2022 mencatatkan perubahan akibat pandemik COVID-19 dengan struktur penduduk yang berbeza berbanding sebelum pandemik.

Jelasnya, bilangan penduduk Bukan Warganegara di Malaysia dan Sabah mencatatkan penurunan ketika pandemik iaitu masing-masing 2.56 juta orang dan 0.78 juta orang pada 2021 berbanding tempoh sebelum pandemik COVID 19.

“Sandakan merekodkan bilangan penduduk Bukan Warganegara paling ramai pada 2025 iaitu 195.1 ribu orang diikuti Tawau (142.9 ribu) dan Kota Kinabalu (125.4 ribu).

“Berdasarkan komposisi penduduk, Kinabatangan mencatatkan peratusan penduduk Bukan Warganegara tertinggi iaitu 72.9 peratus diikuti Kalabakan (69.3%) dan Kunak (53.4%),” katanya.

Statistik penduduk bukan warga negara mengikut kawasan. – DOSM

DOSM berkata, kadar pertumbuhan tahunan bagi Kota Kinabalu pada 2025 meningkat kepada 2.9 peratus (jumlah penduduk Bukan Warganegara 125.4 ribu) berbanding 16.4 peratus (jumlah penduduk Bukan Warganegara 121.8 ribu) pada 2024.

Peningkatan itu, katanya didorong pasca pandemik COVID-19 yang mana pembukaan semula sektor ekonomi dan pendidikan dengan kemasukan tenaga kerja serta pelajar antarabangsa.

“Walaupun mencatatkan peningkatan, jumlah penduduk Bukan Warganegara di Kota Kinabalu pada 2025 masih rendah berbanding pada 2018 (144.7 ribu).

“Anggaran penduduk semasa Bukan Warganegara bagi tahun 2025 disusun berdasarkan anggaran pertengahan tahun bagi tempoh Julai 2024 hingga Jun 2025 berasaskan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia, 2020 yang menggunakan konsep de jure di mana individu yang telah atau akan tinggal sebagai ahli biasa isi rumah selama enam bulan atau lebih dalam tahun rujukan berdasarkan tempat tinggal biasa mereka,” katanya.

Katanya, konsep pengukuran bilangan penduduk di sesuatu kawasan tidak mengambil kira daytime dan nightime population iaitu individu yang berada di sesuatu kawasan pada waktu siang atau malam tanpa menetap di kawasan tersebut.

Kehadiran daytime dan nightime population, katanya menyumbang kepada peningkatan bilangan penduduk khususnya di kawasan bandar bagi tujuan bekerja, perniagaan, membeli belah, berurusan dengan agensi kerajaan atau swasta, melancong, melawat
saudara mara atau sahabat dan lain-lain urusan harian. – Info X