TAWAU: Seorang lelaki disahkan meninggal dunia manakala tiga lagi selamat selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka dan membawa dua motosikal dihanyutkan arus ketika cuba melalui jalan dinaiki air di Kampung Sungai Udin, di sini, malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 9.34 malam.
Menurutnya, susulan panggilan itu, seramai lapan anggota digerakkan ke lokasi kejadian sejauh 47 kilometer dan tiba di lokasi pada jam 10.47 malam.
“Siasatan awal mendapati kenderaan berkenaan gagal menempuh arus deras ketika meredah laluan dinaiki air.
“Seramai empat mangsa terbabit, membabitkan dua individu di dalam kenderaan pacuan empat roda serta dua penunggang motosikal yang menumpang di belakang kenderaan itu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan menggunakan kaedah pencarian permukaan (surface) di sepanjang tebing sungai dengan radius kira-kira satu kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.
“Mangsa ditemui pada jam 7.15 pagi tadi oleh pekerja ladang kira-kira 800 meter dari lokasi kejadian.
“Mangsa lelaki berusia lingkungan 30-an disahkan meninggal dunia dan dibawa keluar menggunakan pengusung oleh pasukan bomba sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Tambahnya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.44 pagi selepas keadaan disahkan selamat. – Info X