Search

Kejohanan Karom Terbuka Parlimen Sepanggar meriah, hampir 100 pasukan berentap

January 10, 2026

Info X Reporters

SEPANGGAR: Kejohanan Karom Terbuka Parlimen Sepanggar 2026 berlangsung meriah dengan penyertaan hampir 100 pasukan melibatkan lebih 200 peserta dari dalam dan luar kawasan Parlimen Sepanggar di Dewan Terbuka Futsal Darau, hari ini.

Program anjuran Belia Sepanggar itu mencatat sambutan luar jangka apabila seramai 296 peserta mendaftar, sekali gus mencerminkan minat tinggi komuniti terhadap sukan karom sebagai medium penyatuan masyarakat.

Majlis perasmian disempurnakan Pengarah Parlimen Sepanggar, Ahsim Jamat, yang mewakili Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mustapha Sakmud, yang tidak dapat hadir berikutan komitmen tugas.

Dalam ucapannya, Ahsim berkata penganjuran kejohanan itu sejajar dengan mandat Parlimen Sepanggar untuk memperkasa belia dan masyarakat melalui pembangunan sumber manusia.

Peserta Kejohanan Karom Terbuka Parlimen Sepanggar 2026 berlangsung meriah di Dewan Terbuka Futsal Darau, Sepanggar.

Menurutnya, program sukan dan riadah mampu mengeratkan silaturahim, selain menjadi medium berkesan mendekatkan wakil rakyat dengan komuniti.

“Kejohanan ini satu permulaan yang baik. Dengan hampir 100 pasukan dan lebih 200 peserta, sambutan amat memberangsangkan dan menjadi asas kepada penganjuran program berskala lebih besar pada masa hadapan,” katanya, sambil memaklumkan perancangan untuk memperluas penganjuran kepada program bersifat kekeluargaan.

Beliau turut berkata kejohanan itu membuka ruang penyertaan kanak-kanak dan remaja seawal usia 11 tahun, sekali gus memberi pendedahan awal kepada sukan berunsur strategi dan disiplin, selain mengisi masa lapang belia dengan aktiviti berfaedah.

Pertandingan dibahagikan kepada kategori Winner Pool dan Loser Pool bagi memberi peluang semua pasukan terus bersaing hingga ke peringkat akhir.

Bagi Winner Pool, johan menerima RM2,000, naib johan RM1,000, tempat ketiga RM800 dan keempat RM400, manakala pasukan kelima hingga kelapan menerima RM200.

Pengarah Parlimen Sepanggar, Ahsim Jamat, yang mewakili Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mustapha Sakmud.

Kategori Loser Pool pula menawarkan RM500 kepada johan, RM300 (naib johan), RM200 (ketiga) dan RM100 kepada pasukan di tempat keempat hingga kelapan.

Pada masa sama, penghargaan turut dirakamkan kepada penaja, penganjur serta pasukan keselamatan atas kelancaran kejohanan, selain kerjasama komuniti Kampung Darau sebagai tuan rumah.

Kejohanan ini diharap dapat dijadikan acara tahunan bagi mencungkil bakat baharu serta memperkukuh hubungan masyarakat melalui sukan karom. – Info X