Search

Ugutan bunuh ibu mentua bawa padah, lelaki warga asing dicekup

January 11, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Tindakan seorang lelaki warga asing mengugut untuk membunuh ibu mentuanya membawa padah apabila dia diberkas polis dalam kejadian di Kampung Haji Matahir, Jalan Merotai, di sini, Jumaat lalu.

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 12 tengah hari ketika mangsa, seorang wanita tempatan berusia 61 tahun, sedang makan di kediamannya sebelum suspek bertindak agresif di dalam bilik.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek dipercayai mengeluarkan ugutan bunuh serta meracun mangsa.

“Ugutan itu menyebabkan wanita berkenaan berasa bimbang akan keselamatan diri dan keluarganya sebelum tampil membuat laporan di Balai Polis Bombalai.

“Susulan kejadian itu, sepasukan anggota polis menjalankan operasi dan menahan suspek jam 5.22 petang hari yang sama di hadapan rumah berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, hasil semakan mendapati dokumentasi suspek berusia lingkungan 30-an itu telah tamat tempoh.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

Dalam pada itu, beliau menegaskan Polis Diraja Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk ugutan atau keganasan, khususnya yang melibatkan keselamatan ahli keluarga.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya segera melaporkan kejadian seumpama itu bagi membolehkan tindakan tegas diambil. – Info X