Search

Dua remaja ditemui tidak bernyawa dalam sebuah kereta

January 11, 2026

Info X Reporters

SANDAKAN: Seorang pelajar perempuan yang dilaporkan hilang sebelum ini ditemui meninggal dunia dalam sebuah kereta bersama seorang lelaki dipercayai kekasihnya di kawasan parkir Bandar Sejati Walk, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, pelajar perempuan berusia 17 tahun ditemukan bersama lelaki berusia 18 tahun di bahagian penumpang belakang sebuah kenderaan.

Kedua-duanya ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan K Ramasamy berkata, pihaknya menerima maklumat awam sebelum sepasukan anggota polis bersama unit forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati semua tingkap kereta tertutup rapat dan berkunci, manakala barang-barang berharga milik mangsa masih berada di dalam kenderaan.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa lelaki keluar dari rumahnya untuk bertemu pelajar itu pada Jumaat lalu sebelum kedua-duanya gagal dihubungi.

“Bapa mangsa kemudian menemui kereta miliknya di tempat letak kereta berkenaan dan menjumpai kedua-dua mangsa selepas membuka pintu menggunakan kunci pendua,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan awal tidak menemui sebarang unsur jenayah atau khianat.

“Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Duchess of Kent Sandakan untuk proses bedah siasat.

“Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – Info X