Search

43,385 murid Tahun Satu mulakan alam persekolahan di Sabah

January 12, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seramai 43,385 murid memulakan alam persekolahan di Tahun Satu, manakala 44,851 pelajar memulakan persekolahan menengah di Sabah bagi sesi 2026 yang bermula hari ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Datuk Raisin Saidin, berkata turut memulakan alam persekolahan menengah ialah seramai 410 pelajar kelas peralihan.

Katanya, jumlah itu adalah sebahagian daripada 276,144 murid sekolah rendah dan 214,170 pelajar sekolah menengah yang direkodkan dalam sesi persekolahan baharu 2026.

“Secara keseluruhan ada seramai 490,314 murid dan pelajar bagi sesi persekolahan 2026 di Sabah yang bermula pada hari ini.

“Bagi tahun ini, Sabah merekodkan seramai 43,385 orang murid Tahun Satu, manakala seramai 44,851 pelajar Tingkatan Satu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Jumlah itu bagaimanapun, katanya tidak termasuk pelajar yang memasuki sekolah khusus dan kelas khas.

Sesi persekolahan 2026 bermula hari ini di lebih 1,000 sekolah rendah dan lebih 200 sekolah menengah di seluruh Sabah.

Bagaimanapun, Raisin berkata sebanyak enam sekolah rendah di Beaufort tidak dapat dibuka hari ini berikutan masih terjejas akibat banjir yang melanda daerah itu sejak minggu lalu.

“Di Beaufort ada enam sekolah masih berdepan masalah banjir iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Bangkalalak, SK Garama, SK Jabang, SK Kebulu, SK Lago dan SK Suasa.

“Sebuah lagi sekolah yang masih ditutup ialah di Tenom iaitu SK Simpang atas faktor keselamatan berdasarkan nasihat Jabatan Kerja Raya (JKR) kerana runtuh kawasan sekolah,” katanya.

Katanya, sekolah terbabit diberi pilihan sama ada mengadakan kelas Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) atau mengadakan kelas ganti pada hari Sabtu apabila sekolah dibuka semula nanti. – Info X