KOTA KINABALU: Bekas Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir Shahelmey Yahya dilantik sebagai pengerusi baharu Sabah Oil and Gas Development Corporation Sdn Bhd (SOGDC) bertaraf menteri.
Ahli Parlimen Putatan yang juga bekas Menteri Kerja Raya Sabah itu menggantikan bekas Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.
Sempena pelantikan itu, Shahelmey mengadakan lawatan rasmi dan menghadiri sesi taklimat Pengerusi di ibu pejabat SOGDC, pada Jumaat.
Beliau disambut Ketua Pegawai Eksekutif yang juga Pengarah Urusan SOGDC, Mohd Azmir Ramli bersama barisan pengurusan tertinggi SOGDC.
Dalam ucapannya, Shahelmey menekankan kepentingan tadbir urus yang kukuh, pemantauan prestasi korporat yang berkesan dan pengurusan bersepadu SOGDC serta anak-anak syarikatnya.
Beliau turut menyatakan hasrat untuk memperkukuh strategi pelaburan SOGDC dengan memberi tumpuan kepada peluang pelaburan strategik yang mampan, di samping memastikan pelaksanaan pelaburan sedia ada berjalan secara teratur dan menepati objektif yang ditetapkan.
Sementara itu, Mohd Azmir berkata, pihak pengurusan dan seluruh warga kerja SOGDC menyambut baik pelantikan itu dan menyatakan komitmen penuh untuk bekerjasama secara profesional serta menyokong kepimpinan pengerusi dalam melaksanakan agenda korporat dan dasar-dasar strategik syarikat.
Jelasnya, usaha berterusan juga dilaksanakan bagi mengekalkan budaya kerja yang berintegriti, harmoni dan berorientasikan prestasi.
“SOGDC yakin kepimpinan baharu ini akan memperkukuh peranan syarikat sebagai entiti strategik negeri, seterusnya menyumbang secara berterusan kepada pembangunan sosioekonomi Sabah melalui pendekatan yang mampan dan berimpak tinggi. – Info X