TAWAU: Seorang lelaki diberkas polis selepas bertindak agresif dengan mengugut untuk mencederakan adik perempuannya serta menyerang abang kandungnya dalam kejadian di Kampung Rancangan Ranggu, di sini, pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi apabila suspek warga tempatan berusia 27 tahun dipercayai mengamuk selepas ditegur oleh bapanya.
“Suspek kemudian mengambil sebatang penyapu dan melibas ke arah abang kandungnya berusia 41 tahun, namun tidak mengenai mangsa sebelum menumbuk lelaki itu ketika mangsa keluar untuk melihat keadaan bapa mereka.
“Suspek turut mengeluarkan ugutan untuk membunuh adik perempuannya menyebabkan mangsa berasa terancam dan membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Jasmin berkata, siasatan awal mendapati suspek sering bertindak agresif dan mengamuk setiap kali ditegur ahli keluarga.
“Susulan laporan itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau berjaya memberkas suspek kira-kira jam 6.15 petang di hadapan rumahnya.
Beliau berkata, suspek dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang mengancam keselamatan keluarga dan masyarakat, sambil menegaskan tindakan tegas akan diambil bagi memastikan keselamatan awam terus terpelihara. – Info X