Search

Jadikan titah Agong pedoman urus isu MA63

January 20, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong wajar dijadikan pedoman bersama dalam mengurus isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang sering dibahaskan secara terbuka.

Pemangku Ketua Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Azrul Ibrahim, berkata perbincangan mengenai isu itu memerlukan kebijaksanaan semua pihak demi kepentingan bersama.

Katanya, penegasan baginda agar semua pihak kembali kepada niat asal pembentukan Malaysia yang berteraskan perpaduan, saling menghormati dan kerjasama erat
di antara Sabah, Sarawak dan Kerajaan Persekutuan adalah peringatan yang amat tepat pada masanya.

“Malaysia tidak dibina atas perbezaan pandangan yang memisahkan, sebaliknya atas semangat perkongsian, kepercayaan dan tanggungjawab bersama.

“Sebagai anak muda Sabah, kami menuntut hak bukan untuk memecah-belahkan tetapi untuk memperkukuh Persekutuan.

“Justeru, usaha menuntut dan
menunaikan hak Sabah di bawah MA63, khususnya berkaitan Pemberian Khas 40 peratus hasil Sabah, terus diperkasakan melalui komitmen berterusan Kerajaan Sabah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan kerjasama erat Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, pendekatan berunding, berfakta dan berlandaskan perlembagaan membuahkan kemajuan yang signifikan apabila beberapa tuntutan MA63 berjaya direalisasikan, manakala usaha melengkapkan tuntutan lain sedang diteruskan secara berperingkat dan penuh kesepakatan.

Katanya, ia membuktikan bahawa ketegasan tidak memerlukan retorika dan keberanian tidak menuntut hasutan.

Dalam masa yang sama, katanya titah baginda agar hak-hak negeri dihormati tanpa mengabaikan kepentingan Malaysia secara keseluruhan perlu difahami secara seimbang dan matang.

“Memperjuangkan hak Sabah bukan bermakna menafikan semangat Persekutuan, sebaliknya pembangunan Sabah yang adil dan bermaruah akan memperkukuh kemajuan, kestabilan dan perpaduan negara.

“Pemuda khususnya harus menolak politik yang memperbesarkan perbezaan pandangan dan menggantikannya dengan politik solusi yang berasaskan kebijaksanaan, integriti dan rasa tanggungjawab.

“Seperti yang dititahkan oleh
Seri Paduka Baginda, setiap keputusan politik hari ini bukan sekadar pendirian parti tetapi penentu masa depan negara,” katanya.

Pada Isnin, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dalam titahnya menegaskan bahawa asas pembentukan Malaysia adalah menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Baginda bertitah demikain pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 (2026) di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. – Info X