Search

Dua warga asing ditahan bersama syabu lebih 50 gram

January 20, 2026

Info X Reporters

LAHAD DATU: Dua lelaki warga asing kini berdepan hukuman mati selepas ditahan membawa 52.57 gram syabu dalam operasi Op Tapis di Jalan Segama, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail, berkata sebelum itu, pihaknya menerima maklumat mengenai aktiviti pengedaran dadah di daerah ini.

Katanya, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu terus menjalankan Op Tapis bagi menumpaskan pengedaran dadah di daerah ini.

“Dua lelaki warga asing berusia 39 dan 40 tahun ditahan di Jalan Segama, di sini selepas pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan.

“Pemeriksaan awal menemukan dadah jenis syabu seberat 52.57 gram bersama peralatan yang dipercayai digunakan untuk pengedaran,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dadah syabu seberat 52.57 gram bersama peralatan yang dipercayai digunakan untuk pengedaran.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Dalam kes berasingan, Dzulbaharin berkata, pihaknya menahan seorang lagi lelaki warga asing berusia 38 tahun dalam keadaan mencurigakan di kawasan Terminal Bas Wagon, Bandar Lahad Datu.

“Hasil pemeriksaan ke atas lelaki terbabit menemukan dadah jenis syabu seberat 6.19 gram yang disyaki untuk tujuan pengedaran.

“Suspek didapati positif dadah dan kini disiasat di bawah Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Katanya, semua dadah jenis syabu seberat keseluruhannya 58.76 gram yang dianggarkan bernilai RM6,463.60 itu dirampas untuk tindakan lanjut.

Dzulbaharin menegaskan, operasi berterusan ini menunjukkan komitmen penuh polis Lahad Datu dalam membanteras jenayah dadah dan memastikan keselamatan awam terjamin.

“Kita akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan bagi membanteras pengedaran dadah di daerah ini dan memastikan pesalah berdepan tindakan tegas mengikut undang-undang,” katanya. – Info X