Search

Dua warga asing dicekup curi kayu bulian di ladang

January 21, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Cubaan licik mencuri kayu bernilai tinggi berakhir gagal apabila dua lelaki warga asing dicekup polis dalam serbuan lewat malam di kawasan ladang Inderasabah, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, tindakan pantas diambil susulan laporan pencerobohan membabitkan sebuah lori dan beberapa kenderaan yang disyaki memasuki ladang bagi mencuri kayu bulian milik syarikat.

Menurutnya, rondaan cegah jenayah oleh anggota Balai Polis Bandar Sri Indah kira-kira jam 10 malam membawa kepada penahanan dua lelaki berusia lingkungan 20-an dan 30-an dalam keadaan mencurigakan, sebelum pemeriksaan mendapati mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri sah.

“Hasil siasatan awal mengesyaki kedua-dua suspek terbabit aktif mencuri kayu bulian.

“Polis turut merampas sebuah lori dan kenderaan pacuan empat roda dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau berkata, kedua-dua suspek dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen berkaitan kesalahan tiada dokumen sah. – Info X