Search

Piala Malaysia: Sabah terkeluar dari saingan selepas tewas di tangan Melaka

January 23, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Prestasi Sabah FC dilihat semakin merosot berikutan kekalahan demi kekalahan dialami pasukan itu dalam kebanyakan perlawanan sejak kebelakangan ini.

Terbaharu, skuad Sang Badak tewas 3-0 di tangan Melaka FC dalam perlawanan kedua pusingan 16 Piala Malaysia 2026 di Stadium Likas, malam tadi.

Kekalahan itu menyebabkan Sabah terkeluar dari saingan Piala Malaysia musim ini, sekali gus beralih ke Piala Cabaran yang disertai pasukan kalah.

Pada awalnya, Sang Badak dilihat mempunyai harapan yang baik setelah berjaya mengikat Melaka 2-2 ketika perlawanan pertama pusingan 16 pada 17 Januari lalu.

Harapan untuk Sang Badak mencipta kemenangan ketika bermain di halaman sendiri itu ditambah lagi dengan kehadiran pemain import baharunya, Ernesto Amantegui Phumipha.

Bekas pemain pertahanan Nakhon Pathom United FC yang bermain di Liga Thailand itu memulakan aksi sulung bersama tonggak sedia ada Sang Badak malam tadi.

Bagaimanapun, Sabah gagal mendapat sebarang gol kecuali satu jaringan pada separuh masa pertama, namun dibatalkan.

Sebaliknya pasukan pelawat meraih tiga gol setelah pemain tengah Sang Badak, Gary Steven Robbat dilayangkan kad merah pada awal babak kedua.

Layangan kad itu menyebabkan Sabah terpaksa beraksi 10 pemain sepanjang separuh masa kedua dan ia dilihat sebagai kekurangan utama menyebabkan gawang tuan rumah bolos tiga kali akibat serangan pasukan lawan.

Pengendali sementara Sabah FC, Alto Linus, berkata keputusan pengadil terhadap Gary itu menjadi antara faktor yang menjejaskan rentak permainan anak buahnya.

Secara keseluruhan, katanya pemain mempamerkan semangat juang yang baik terutama pada separuh masa pertama ketika aksi perlawanan masih seimbang dengan jumlah pemain yang sama.

“Pada separuh masa pertama, kita nampak momentum yang baik dan keseimbangan permainan.

“Pemain menunjukkan semangat yang tinggi, namun apabila kita kekurangan seorang pemain, ia memberi kesan besar kepada rentak permainan,” katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan, malam tadi.

Jelasnya, aksi Sang Badak bermula dengan baik dan berjaya menjaringkan gol awal, namun jaringan itu dibatalkan, sekali gus menjejaskan momentum pasukan.

“Pemain sudah bersedia dan cuba mendapatkan gol. Kita telah menjaringkan gol pada awal perlawanan tetapi dibatalkan dan itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada psikologi serta tempo permainan,” katanya.

Apa yang jelas, Sabah FC perlu bangkit selepas ini menerusi suntikan semangat yang dibawa barisan pengurusan baharu pasukan, termasuk pegawai tertingginya yang dikhabarkan bakal digantikan.

Perubahan pengurusan kelab berkenaan juga diharap dapat menyelesaikan sebarang masalah dalaman jika perkara itu masih berlaku sebagai suntikan moral kepada pemain untuk kembali beraksi dengan cemerlang. – Info X