Search

Lebih setengah juta pengguna dapat manfaat rebat elektrik

January 27, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Lebih setengah juta pengguna elektrik di Sabah dan Labuan menerima manfaat menerusi pemberian rebat 2.5 peratus yang dilaksanakan Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity).

Syarikat utiliti itu pada Selasa mengumumkan pemberian rebat elektrik sebanyak 2.5 peratus kepada pengguna yang layak sebagai sebahagian daripada usaha berterusan syarikat bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat serta memastikan kebajikan pengguna terus terpelihara.

Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Datuk Ir Mohd Yaakob Jaafar, berkata pemberian rebat itu memberi manfaat kepada seramai 661,774 pelanggan, membabitkan pemulangan rebat keseluruhan berjumlah RM10.4 juta.

Rebat itu katanya akan dikreditkan terus ke dalam akaun bil elektrik pengguna berdaftar secara berperingkat bermula pada Januari 2026.

“Rebat ini diberikan kepada pengguna di bawah Electricity Supply Enactment 2024, Licensee Supply Regulations 2024 Regulation (5) (1) yang mana menyatakan pihak Sabah Electricity dikehendaki membuat pembayaran faedah 2.5 peratus ke atas deposit tunai pada bulan Januari setiap tahun,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Inisiatif itu, katanya mencerminkan komitmen Sabah Electricity untuk mengimbangi keperluan kemampanan kewangan syarikat dengan kepentingan pengguna, khususnya dalam suasana ekonomi semasa.

Sementara itu, beliau berkata wang cagaran yang dikenakan kepada pengguna dikira bersamaan dua bulan penggunaan bil elektrik, berdasarkan purata bagi enam bulan terakhir dan akan disemak setiap enam bulan.

“Penambahan wang cagaran akan dikenakan sekiranya terdapat peningkatan penggunaan berbanding wang cagaran sedia ada.

“Bagaimanapun, jika purata penggunaan kurang daripada wang cagaran, maka ia boleh dipulangkan kepada pengguna atas permintaan pengguna melalui rebat ke atas bil elektrik mereka,” katanya.

Katanya, Sabah Electricity turut menggalakkan pengguna untuk mengamalkan penggunaan tenaga secara berhemah dan memanfaatkan kemudahan pemantauan penggunaan elektrik melalui portal serta aplikasi rasmi syarikat bagi membantu pengurusan perbelanjaan elektrik dengan lebih berkesan.

Beliau berkata, pengguna boleh mendapatkan keterangan lanjut dengan mengunjungi pejabat Sabah Electricity berdekatan atau menghubungi talian perkhidmatan pelanggan 15444 atau 088-515000.

Selain itu katanya, pengguna juga boleh memuat turun aplikasi Sabah Electricity melalui telefon pintar untuk mendapatkan info terkini mengenai perkhidmatan Sabah Electricity. – Info X