Search

Sokongan masyarakat Cina kembali kepada GRS – Azrul

January 29, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sokongan masyarakat Cina dilihat beralih kepada kerajaan yang memerintah negeri ini selepas Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Pemangku Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Azrul Ibrahim, berkata walaupun pengundi Cina dilihat memilih parti pembangkang pada PRN17, dapatan kaji selidik mendapati mereka meletakkan harapan kepada kerajaan diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Beliau berkata, pengundi Cina hanya menolak calon mewakili parti nasional yang bekerjasama dengan GRS untuk bertanding di kawasan majoriti pengundi Cina pada PRN17 dan memilih parti tempatan disebabkan sentimen tempatan yang kuat pada pilihan raya itu.

“Kita tiada dapatan khusus berkaitan unjuran pengundi Cina pada pilihan raya itu, tapi GRS tidak bertanding di kawasan ramai pengundi Cina, sebaliknya ia diserahkan kepada rakan dari Pakatan Harapan (PH).

“Tapi, pandangan pihak tertentu yang membuat kajian mengenai sokongan masyarakat Cina mendapati, pengundi Cina sebenarnya memberi harapan kepada GRS,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Pergerakan Pemuda Gagasan Rakyat, di sini, pada Khamis.

Azrul berkata, masyarakat Cina melihat polisi dan dasar kerajaan GRS yang bersifat inklusif sebagai asas untuk menyatakan sokongan.

“Antaranya pengiktirafan kerajaan Sabah terhadap Unified Examinations Certificate (UEC) yang dikeluarkan sekolah persendirian Cina di Sabah.

“Malah setakat ini seramai 37 pelajar Cina yang mengambil sijil UEC di negeri ini mendapat bantuan biasiswa. Ini dilakukan kerana kerajaan melihat keperluan rakan kita dari masyarakat Cina.

“Saya juga percaya perkara ini dapat dikembangkan dalam sektor yang lain dan saya yakin sokongan masyarakat Cina terhadap GRS akan terus meningkat selepas ini,” katanya.

Keputusan PRN17 Sabah pada 29 November lalu menyaksikan tujuh kawasan ramai pengundi Cina yang sebelum ini dikuasai DAP dan PKR jatuh ke tangan Parti Warisan.

Kerusi terbabit ialah Api-Api, Luyang, Likas, Inanam dan Kapayan di Kota Kinabalu serta Penampang, manakala Karamunting dan Tanjung Papat di Sandakan.

Warisan turut mempertahankan tiga kerusi ditandingi calon Cina iaitu Tanjung Aru, Sri Tanjong dan Elopura.

GRS tidak bertanding di kerusi terbabit kerana diserahkan kepada rakan kerjasama dari PH iaitu DAP dan PKR. – Info X