Search

Bekalan elektrik belum stabil, kenapa naikkan tarif – Shafie

February 7, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Parti Warisan mempersoalkan keputusan kerajaan negeri menaikkan tarif elektrik ketika bekalan utiliti itu masih tidak stabil dan kos sara hidup rakyat terus meningkat.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam satu kenyataan, berkata, alasan kerajaan yang menyifatkan kenaikan itu sebagai tidak dapat dielakkan dan berimpak minimum tidak boleh diterima kerana perkhidmatan asas belum mencapai tahap yang memuaskan.

“Apabila perkhidmatan asas gagal berfungsi dengan baik, rakyat tidak seharusnya diminta membayar lebih.

“Kenaikan ini bukan sekadar melibatkan bil elektrik yang lebih tinggi bagi isi rumah dan industri. Ia akan meningkatkan kos operasi perniagaan, menaikkan harga barangan dan perkhidmatan, melemahkan perniagaan kecil serta mengurangkan kuasa perbelanjaan rakyat di seluruh Sabah,” katanya.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, persoalan sebenar ialah sama ada kerajaan telah menangani punca utama masalah dalam sistem bekalan elektrik Sabah sebelum memindahkan beban kos kepada pengguna.

Katanya, Sabah sangat bergantung kepada Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) dan banyak perjanjian bekalan tenaga dimeterai bertahun-tahun lalu yang wajar disemak semula bagi memastikan Sabah tidak menanggung kos yang lebih tinggi daripada sepatutnya.

“Warisan menggesa kerajaan negeri menjelaskan secara telus asas pengiraan tarif baharu ini, menyemak perjanjian IPP serta meningkatkan kecekapan dan pengurusan dalam Sabah Electricity.

“Elektrik adalah keperluan asas. Rakyat Sabah tidak seharusnya dipaksa membayar lebih selagi masalah bekalan masih berlarutan,” katanya.

Sabah Electricity sebelum ini mengumumkan pelaksanaan semakan semula kadar tarif elektrik di Sabah berkuatkuasa pada 1 Februari lalu yang menyaksikan kadar purata tarif asas 34.52 sen/kWj diselaraskan kepada 39.70 sen/kWj. – Info X