Search

Hasrat bertemu isteri tidak kesampaian, lelaki maut kemalangan

February 7, 2026

Info X Reporters

PAPAR: Perjalanan seorang lelaki berakhir tragedi apabila motosikal yang ditungganginya dipercayai terbabas ke dalam parit sebelum dia disahkan maut di lokasi kejadian di Jalan Limbahau, di sini, pagi tadi.

Lebih memilukan, mangsa berusia 54 tahun itu difahamkan sedang dalam perjalanan dari Beluran untuk bertemu isterinya di Labuan.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam, kira-kira jam 7 pagi, sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi bagi menjalankan siasatan awal.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa yang merupakan lelaki tempatan dipercayai hilang kawalan sebelum motosikalnya terbabas sendiri ketika melalui laluan berkenaan.

“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan serius di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mangsa yang mengalami kecederaan serius di kepala disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian di Jalan Limbahau, Papar.

Menurutnya, siasatan awal turut mendapati mangsa difahamkan sedang dalam perjalanan dari Beluran menuju ke Labuan untuk bertemu isterinya ketika kejadian berlaku.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk pemeriksaan teknikal di lokasi, penyediaan lakaran rajah kemalangan serta rakaman percakapan saksi bebas.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor El Najeeb Abdul Rahman di talian 016-8813880 atau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Papar,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati, mematuhi had laju ditetapkan serta memastikan pemakaian topi keledar dengan sempurna bagi mengurangkan risiko kecederaan serius.

“Kerjasama orang ramai dalam membantu siasatan amat dihargai,” katanya. – Info X