TAWAU: Niat seorang lelaki untuk menceroboh sebuah rumah berakhir apabila gerak-gerinya dikesan polis sebelum sempat melakukan sebarang perbuatan dalam kejadian di Taman Rainbow, di sini, petang tadi.
Suspek warga tempatan berusia 29 tahun ditahan jam 5.40 petang ketika sepasukan anggota polis dari Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menjalankan rondaan cegah jenayah di kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya mendapati suspek berada di kawasan rumah berkenaan dalam keadaan mencurigakan sebelum bantuan tambahan dipanggil ke lokasi.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati tombol pintu belakang rumah berkenaan tiada dipercayai telah diumpil, selain turut menemui sebilah pemotong paip di belakang rumah.
“Suspek bagaimanapun tidak sempat masuk ke dalam rumah dan mengambil barang sebelum berjaya ditahan anggota polis,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, suspek bersama barang rampasan dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan.
Tambahnya, polis memandang serius sebarang cubaan pecah rumah dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang cuba mengganggu ketenteraman awam.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya segera menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengesan sebarang pergerakan mencurigakan di kawasan perumahan.
“Selain itu, jiran-jiran diminta sentiasa peka terhadap keadaan sekeliling, mengamalkan konsep kejiranan serta segera menghubungi polis sekiranya mengesan kehadiran individu tidak dikenali atau sebarang aktiviti mencurigakan di kawasan perumahan,” katanya. – Info X