Search

Lesen tamat, Toyota Supra mewah milik ahli perniagaan disita

February 10, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sebuah kenderaan mewah milik seorang ahli perniagaan di Sabah disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ketika Ops Khas Luxury, pada Isnin.

Pengarah JPJ Sabah, Datuk Mohd Harris Ali berkata, kenderaan Toyota Supra 3.0L yang disita di Jalan Tuaran itu dikesan atas kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans sah.

“Selain itu, kenderaan berkenaan juga didapati tidak mengikut spesifikasi nombor pendaftaran yang ditetapkan.

“Kesalahan itu melanggar peraturan dan undang – undang jalan raya mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), seksyen 23(1) dan 90(1),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kenderaan mewah milik ahli perniagaan di Sabah disita JPJ ketika melaksanakan Ops Khas Luxury di Kota Kinabalu.

Menurutnya, kenderaan disita bagi tindakan selanjutnya mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Beliau menambah operasi penguatkuasaan akan diteruskan secara berterusan.

“JPJ tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas termasuk pendakwaan di mahkamah mengikut peraturan dan undang-undang yang berkuatkuasa,” katanya. – Info X