PENAMPANG: Cubaan seorang lelaki yang disyaki pengedar dadah melarikan diri tidak berhasil apabila dia diberkas polis bersama dadah jenis ketamin dan serbuk ekstasi dalam serbuan di sebuah kondominium di daerah ini, semalam.
Dalam serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang itu, suspek warga tempatan berusia 26 tahun berjaya ditahan tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy bin Newton berkata, pemeriksaan lanjut menemui 10 paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki ketamin seberat 512.30 gram.
“Turut dirampas 28 paket plastik mengandungi serbuk disyaki dadah jenis ekstasi dengan anggaran berat kasar keseluruhan 944.43 gram.
“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan seberat 1,456.73 gram dengan nilai pasaran kira-kira RM47,400,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, polis turut merampas wang tunai RM700, sebuah telefon bimbit dan beberapa kad akses premis dipercayai berkaitan kegiatan suspek.
Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine dan ketamin.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
“Kes juga disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun,” katanya.
Sementara itu, berkata orang ramai dinasihatkan supaya menjauhi najis dadah dan segera menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah atau aktiviti pengedaran dadah. – Info X