KOTA KINABALU: Ketika sebahagian pengunjung sedang leka berhibur dan dipercayai khayal selepas menikmati minuman ‘jus’ disyaki mengandungi dadah, mereka dikejutkan dengan serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, awal pagi tadi.
Dalam operasi jam 2.15 pagi itu, pasukan JSJN menyerbu sebuah pusat hiburan di Bandar Indah, Batu 4, Sandakan sebelum menahan sembilan individu termasuk seorang pengurus premis.
Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, pemeriksaan mendapati seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun yang mengaku sebagai penjaga premis ditahan kerana disyaki beroperasi lebih masa.

“Hasil ujian saringan awal air kencing ke atas pengunjung pula mendapati lapan individu iaitu tujuh lelaki dan seorang wanita berusia antara 23 hingga 37 tahun positif dadah.
“Antara bahan dikesan termasuk Methamphetamine, Amphetamine, Benzodiazepine dan Ketamin,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, tiga suspek mengaku mengambil minuman ‘jus’ dipercayai mengandungi dadah yang dibeli ketika berhibur di premis berkenaan pada harga RM1,050.
“Lima lagi mengaku mendapatkan bekalan Ketamin pada harga RM250 bagi anggaran 2.5 gram untuk kegunaan sendiri,” katanya.
Beliau berkata, pengurus premis diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sandakan untuk siasatan mengikut Seksyen 4 Enakmen Hiburan Awam 1958.
“Manakala kes membabitkan individu yang positif dadah disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Operasi dan pemantauan akan terus dipergiat bagi memastikan pusat hiburan tidak dijadikan lokasi penyalahgunaan dadah,” katanya. – Info X