KOTA KINABALU: Seramai 5,141 mangsa banjir kini berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di empat daerah berikutan pengisytiharan Tawau sebagai kawasan bencana banjir terbaharu, malam tadi.
Tawau mencatat 245 mangsa daripada 55 keluarga berikutan banjir di daerah itu dengan sebuah PPS iaitu di Dewan Kompleks Sukan Tawau dibuka setakat ini.

Secara keseluruhan, daerah Pitas kekal merekodkan jumlah mangsa banjir yang tertinggi dengan seramai 2,120 daripada 1,054 keluarga berlindung di 10 PPS sekitar daerah itu.
Ia diikuti Kota Marudu dengan seramai 1,929 mangsa daripada 781 yang berlindung di empat PPS, manakala di Paitan, seramai 847 mangsa daripada 270 keluarga masih berlindung di 12 PPS.

Pemindahan mangsa banjir di empat daerah membabitkan 80 kampung dengan Paitan merekodkan 37 kampung, diikuti Pitas (30 kampung), Kota Marudu (12 kampung) dan Tawau (satu).
Laporan Pusat Kawalan Operasi Bencana, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah pagi ini turut merekodkan 50 mangsa daripada 16 keluarga terbabit dalam musibah kebakaran di daerah Kota Belud pada Sabtu. – Info X
