Search

Dua lelaki dicekup jual daun, air ketum di Ranau

February 23, 2026

Info X Reporters

RANAU: Kegiatan penjualan daun dan air ketum di Kampung Bongkud, di sini, terbongkar selepas dua lelaki tempatan diberkas dalam dua serbuan berasingan, semalam.

Dalam serbuan pertama kira-kira jam 2 petang, seorang lelaki berusia 37 tahun ditahan bersama satu karung guni berisi daun ketum seberat 1.4 kilogram.

Sebanyak 18 botol plastik berisi cecair disyaki air ketum yang disimpan di dalam peti sejuk turut dirampas.

Turut dirampas dalam operasi itu ialah sebuah tong gas dan dapur masak yang dipercayai digunakan untuk memproses bahan berkenaan.

Tidak sampai sejam kemudian, kira-kira jam 3 petang, seorang lagi lelaki berusia 49 tahun diberkas bersama 18 botol plastik berkapasiti 1.5 liter berisi cecair disyaki air ketum yang disimpan dalam peti sejuk.

Polis turut merampas sebuah tong gas dan dapur masak dalam serbuan kedua berkenaan.

Daun ketum yang disembunyikan di dalam guni antara yang dirampas dalam serbuan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, semua tangkapan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau yang diketuai Inspektor Abdul Fatah Qasim.

“Pengambilan dan pemprosesan cecair ketum adalah kesalahan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

“Sabit kesalahan, pesalah boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, beliau menegaskan pihaknya akan terus mempergiatkan operasi membanteras aktiviti menyalahi undang-undang itu demi kesejahteraan masyarakat di daerah Ranau. – Info X