Search

Petisyen pilihan raya DUN Bengkoka ditolak, kedudukan Harun Durabi kekal

February 23, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Datuk Harun Durabi kekal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bengkoka selepas Mahkamah Pilihan Raya pada Isnin menolak petisyen yang difailkan atas keputusan Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) bagi kerusi DUN N2 Bengkoka yang diadakan pada 29 November 2025.

Petisyen itu yang difailkan bekas calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Samuil Mopun ditolak selepas Hakim Mahkamah Pilihan Raya, Datuk Dean Wayne Daly membenarkan bantahan awal yang dikemukakan responden.

Keputusan itu dibuat selepas mahkamah mendapati petisyen berkenaan gagal mematuhi keperluan mandatori di bawah Peraturan-Peraturan Petisyen Pilihan Raya 1954, termasuk Peraturan 3(1) dan 3(2), Peraturan 4(1), Peraturan 9 serta Peraturan 15, yang menjadi syarat asas bagi menggerakkan bidang kuasa Mahkamah Pilihan Raya.

Sehubungan itu, petisyen berkenaan ditolak tanpa perlu melalui perbicaraan penuh dan mahkamah turut memerintahkan kos dibayar kepada semua responden.

Dalam petisyen itu, Harun diwakili Mohd Reduan Aklee, Hassan Murtaza, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mortimer Maluda dan Wong Chik Kien.

Responden kedua dan ketiga diwakili SFC Ahmad Hanir Hambaly @ Alwi dan Raja Shahril Anuar Raja Baniamin dari Pejabat Peguam Negara.

Samuil selaku pempetisyen pula diwakili peguam Jaikol Situn dan Rijolin Molisin.

Ia adalah kes petisyen pilihan raya yang pertama diputuskan Mahkamah Pilihan Raya bagi PRN17 Sabah.

Pada pilihan raya itu, Harun yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi DUN Bengkoka dengan majoriti 77 undi setelah mendapat 2,485 undi menewaskan Samuil selaku pencabar terdekatnya yang mendapat 2,408 undi.

Kerusi berkenaan menyaksikan pertandingan 11 penjuru. – Info X