KOTA KINABALU: Seorang pekerja kilang cedera pada bahagian mata selepas dipercayai terkena pancutan ‘water jet’ ketika kebakaran membabitkan sebuah stor di Jarri Engineering Sdn Bhd, di sini, petang tadi.
Kebakaran melibatkan stor penyimpanan peralatan kenderaan jenis kekal berkeluasan kira-kira 74.3 meter persegi yang terbakar 15 peratus.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.17 petang sebelum sepasukan 11 anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 6.26 petang, kira-kira empat kilometer dari balai, dan mendapati kebakaran membabitkan sebuah stor kilang.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang kira-kira 61 meter dengan dua pancutan air daripada sumber tangki jentera bomba,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 6.40 petang sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.20 malam selepas pemeriksaan lanjut dilakukan bagi memastikan tiada bahaya lain di lokasi.
“Seorang pekerja lelaki berusia 26 tahun mengalami kecederaan pada mata selepas terkena nozel ‘water jet’ dan diberikan rawatan awal oleh pasukan Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) bomba di lokasi kejadian.
“Tiada mangsa lain dilaporkan terlibat dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
Operasi turut dibantu dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM). – Info X