SEMPORNA: Sembilan rumah kediaman bersama sebuah stor dan sebuah kedai runcit musnah dalam kebakaran di Jalan Pinggir Bakau, di sini, hari ini.
Dalam kejadian itu, seorang wanita berusia 53 tahun dilaporkan pengsan sebelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.
Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Rastam Keladi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada jam 1.51 petang sebelum jentera pertama tiba di lokasi dua minit kemudian.
“Seramai 21 anggota membabitkan 15 pegawai dan anggota dari BBP Semporna serta enam anggota dari BBP Air Semporna digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira satu kilometer dari balai.
“Kebakaran melibatkan sembilan rumah kediaman jenis tidak kekal, sebuah Stor FMK Smart Hardware dan sebuah kedai runcit terbakar 100 peratus,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan dua aliran hos sepanjang 500 kaki dengan dua pancutan air, manakala sumber air diperoleh daripada pili bomba berhampiran.
Beliau berkata, seorang mangsa wanita ditemui pengsan di lokasi kejadian dan diberi rawatan awal oleh Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) sebelum dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS untuk rawatan lanjut.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 2.29 petang sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.30 petang selepas memastikan tiada lagi punca api dan kawasan selamat.
“Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – Info X