KOTA KINABALU: Detik mencemaskan dilalui anggota polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan wartawan Info X apabila bot dinaiki mereka terbakar ketika membawa mayat lelaki yang ditemui di tebing batu Pantai Tanjung Aru 3, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.40 pagi itu, semua mereka terpaksa terjun ke laut dan terapung hampir 40 minit sebelum diselamatkan bot Pasukan Polis Marin (PPM).
Terdahulu, pada jam 1.20 pagi, wartawan Info X menerima maklumat mengenai penemuan mayat di tebing batu Pantai Tanjung Aru 3 sebelum bergegas ke Menara Pantai Penyelamat APM Tanjung Aru.
Penulis kemudian mengikuti pasukan APM dan polis ke lokasi menggunakan bot bagi mengambil mayat berkenaan.
Kira-kira 15 minit kemudian, pasukan menemui mayat lelaki lengkap berpakaian, memakai kasut serta membawa beg. Mayat itu diangkat ke atas bot untuk dibawa ke menara pantai bagi tindakan lanjut dan siasatan.
Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan pulang, enjin bot tiba-tiba mati. Dua anggota APM cuba menghidupkan semula enjin beberapa kali sebelum berlaku percikan api di bahagian enjin.
Api kemudian marak dan membakar enjin bot, memaksa penulis bersama empat anggota polis terjun ke laut untuk menyelamatkan diri.
Dua anggota APM pada awalnya cuba memadam kebakaran, namun seorang terpaksa terjun manakala seorang lagi bertahan untuk mengawal api daripada merebak dan menjaga mayat yang diambil sebelumnya.
Dalam tempoh hampir 40 minit terapung di laut dengan memakai jaket keselamatan, penulis bersama empat anggota polis dan dua anggota APM berusaha kekal bersama bagi mengelakkan dihanyutkan ombak, sementara anggota APM memberi arahan supaya tidak berpecah dan menunggu bantuan.
Dalam keadaan terapung di laut, pelbagai fikiran bermain di minda masing-masing demi memastikan keselamatan diri, lebih-lebih lagi kawasan itu sering dilaporkan kelibat buaya.
Situasi bertambah mencemaskan apabila suasana semakin gelap, manakala bot yang terbakar masih berasap di tengah laut.
Anggota APM yang masih berada di atas bot kemudian segera menghubungi bot Pasukan Polis Marin (PPM) yang memantau operasi mengangkat mayat itu sebelum pasukan berkenaan bergegas ke lokasi untuk melakukan penyelamatan.
Semua mangsa, termasuk penulis kemudian dipindahkan ke bot marin dan dihantar ke jeti Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sebelum tiba kira-kira jam 4 pagi.
Bot APM berkenaan tidak musnah sepenuhnya, namun enjin rosak teruk akibat kebakaran, manakala mayat yang ada di bot itu juga selamat sebelum dibawa ke darat dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Tiada kecederaan serius dilaporkan, namun dua anggota APM dan seorang anggota polis mengalami cedera ringan.
Bagi penulis, insiden itu menjadi antara pengalaman paling mencabar sepanjang bertugas di lapangan – bukan sekadar menyaksikan tragedi, tetapi merasai sendiri detik cemas di tengah laut dalam keadaan serba tidak menentu. – Info X