Search

Vesel dikendali tekong warga asing ditahan guna lesen luput

March 3, 2026

Info X Reporters

LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu menahan sebuah vesel pukat jerut bilis yang didapati beroperasi menggunakan lesen tamat tempoh di perairan Kunak, semalam.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali, berkata penahanan dilakukan kira-kira jam 4.45 petang pada kedudukan 2.6 batu nautika timur laut Pangkalan Kunak oleh bot ronda yang sedang melaksanakan Op PLUTO TIMUR 2/2023 dan Op TIRIS 3.0.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati vesel berkenaan dikendalikan tekong warga Filipina berusia 37 tahun bersama dua kru masing-masing berumur 27 dan 34 tahun.

“Semua kru mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah, namun pemeriksaan lanjut mendapati lesen vesel berkenaan telah tamat tempoh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kegagalan memperbaharui lesen adalah satu kesalahan yang boleh menjejaskan aspek kawalan dan pengurusan sumber perikanan negara selain melanggar peruntukan undang-undang sedia ada.

“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan. Rondaan dan operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara,” katanya.

Vesel bersama kru dan hasil tangkapan dibawa ke Jeti Zon Maritim Lahad Datu untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang berkaitan.

Dalam pada itu, Maritim Malaysia menggesa komuniti maritim supaya sentiasa mematuhi undang-undang laut dan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan menerusi aplikasi WhatsApp di talian 016-930 5727 atau talian kecemasan 999 bagi tindakan segera. – Info X