Search

Dua kontraktor LPB Sabah dikenakan penalti RM31.8 juta

March 3, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan mengenakan penalti ganti rugi tertentu dan ditetapkan (LAD) berjumlah RM31.8 juta terhadap dua kontraktor projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang gagal menyiapkan kerja mengikut jadual ditetapkan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata sebanyak 23 pakej kerja dikenal pasti mengalami kelewatan berbanding jadual asal pelaksanaan projek infrastruktur berkenaan.

Beliau berkata, kelewatan itu dipengaruhi beberapa faktor utama termasuk keadaan cuaca tidak menentu, cabaran pengambilan balik tanah, isu pengalihan utiliti serta prestasi kontraktor di tapak projek.

“Kementerian memahami isu ini menjadi kebimbangan berhubung kesan kelewatan projek terhadap mobiliti rakyat, kos logistik dan pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Edward Linggu Bukut berhubung jumlah pakej LPB Sabah yang lewat siap melebihi jadual asal serta nilai penalti LAD yang dikenakan kepada kontraktor terbabit.

Mengulas perkembangan terkini, Ahmad berkata fasa 1A membabitkan 16 pakej kerja kini mencapai kemajuan 86.6 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama 2027.

Katanya, fasa 1B pula merangkumi 19 pakej kerja yang kini berada pada tahap kemajuan 13.56 peratus dan disasarkan siap pada suku keempat 2028.

“Bagi jajaran fasa 1B, kerja pembinaan dimulakan secara lebih intensif selepas isu pengambilan balik tanah berjaya diselesaikan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri,” katanya.

Dalam usaha mengurangkan gangguan kepada pengguna jalan raya, beliau berkata kementerian melaksanakan penyelenggaraan rutin secara lebih agresif termasuk pembaikan jalan rosak serta mewajibkan kontraktor menyediakan pelan pengurusan trafik yang lebih efektif.

Tambahnya, jajaran yang siap akan dibuka lebih awal sebagai laluan alternatif bagi mengurangkan kesesakan tanpa perlu menunggu keseluruhan fasa disiapkan.

Mengenai fasa 2 membabitkan jajaran Tamparuli ke Ranau sepanjang 98 kilometer, Ahmad berkata projek itu masih di peringkat perancangan dan pelaksanaannya bergantung kepada keupayaan kewangan kerajaan memandangkan ia tidak melibatkan kutipan tol. – Info X