PENAMPANG: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah merampas pelbagai produk ayam dan daging sejuk beku seberat lebih 552,851.24 kilogram bernilai keseluruhan kira-kira RM14.56 juta dalam satu operasi bersepadu di Kampung Nambazan, Donggongon, di sini, hari ini.
Serbuan kira-kira jam 10 pagi itu dilaksanakan bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hasil risikan serta perkongsian maklumat antara agensi.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Ahmad Amri Abd Rahman, berkata pemeriksaan ke atas sebuah premis yang dipercayai dijadikan lokasi penyimpanan produk ayam dan daging sejuk beku menemui kuantiti bahan mentah yang sangat banyak.
“Pemeriksaan lanjut bersama pihak KKM mendapati terdapat sebahagian produk ayam dan daging yang sudah tamat tempoh.
“Selain itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar turut mengesan keraguan terhadap dokumen yang dikemukakan, apabila didapati berlaku ketidakpatuhan terhadap peruntukan undang-undang berkaitan keselamatan makanan dan peraturan veterinar,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, seorang lelaki warga tempatan yang berada di premis berkenaan ditahan bagi membantu siasatan lanjut.
Turut dirampas dalam operasi itu ialah sebuah fasiliti penyimpanan sejuk beku (cold storage) yang digunakan untuk menyimpan bekalan berkenaan.
Kes disiasat mengikut Akta Perkhidmatan Veterinar 2015 dan Akta Makanan 1983.

Ahmad Amri berkata, PPM Wilayah 4 Sabah akan terus mempergiat operasi bersepadu bersama agensi penguat kuasa lain bagi memastikan produk makanan yang berada di pasaran mematuhi piawaian keselamatan dan peraturan ditetapkan.
Beliau turut mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang demi menjamin keselamatan serta kesejahteraan masyarakat dan negara.-Info X