Search

Piala Cabaran: Sang Badak sasar persembahan konsisten, fokus aksi pertama separuh akhir

March 4, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah FC bertandang ke Stadium MP Manjung bagi menghadapi Perak FA dengan menyasarkan persembahan konsisten dalam aksi separuh akhir pertama Piala Cabaran MFL, malam ini.

Ketua jurulatihnya, Juan Torres Garrido berkata tumpuan penuh diberikan pada aksi separuh akhir pertama bagi memenangi perlawanan sebagai bekalan untuk ke perlawanan kedua di Likas selepas ini dan akhirnya ke final.

Walaupun mengakui cabaran beraksi di gelanggang lawan bukan mudah, beliau tetap yakin dengan pengalaman dan kekuatan mental anak buahnya, ditambah semangat serta keinginan untuk berjaya mampu memberi kekuatan kepada pasukan.

Beliau menyifatkan Perak sebagai pasukan yang teratur, kukuh dari segi taktikal dan berbahaya dalam situasi serangan balas yang perlu diambil perhatian oleh pemain Sang Badak.

“Berdasarkan analisis, mereka (pemain Perak) sangat tersusun dan solid secara taktikal. Mereka juga berbahaya apabila diberi ruang untuk bergerak pantas,” katanya mengulas persiapan Sabah menghadapi perlawanan malam ini.

Katanya, walaupun perlawanan separuh akhir itu menggunakan format dua perlawanan, beliau menegaskan pendekatan taktikal tidak banyak berubah kerana keutamaan diberikan kepada aksi pertama di Manjung.

Ia adalah perlawanan kedua beliau membimbing Sabah selepas membuat penampilan sulung dalam saingan Liga Super bertemu Negeri Sembilan FC, minggu lalu.

Garrido menyatakan beliau berpuas hati dengan sikap serta keselarasan yang semakin terbentuk dalam pasukan.

“Saya gembira dengan sikap pemain. Kami berada pada haluan yang sama dan perlu mengekalkan momentum ini,” katanya.

Sementara itu, Garrido berkata, walaupun beraksi di tempat lawan, pendekatan pasukan kekal sama iaitu mengambil langkah satu perlawanan demi satu perlawanan dalam usaha membentuk skuad yang lebih konsisten.

“Kita perlu teruskan proses membina pasukan yang konsisten. Fokus kita hanya kepada perlawanan seterusnya,” katanya.

Garrido mengakui jadual padat dan tempoh latihan yang terhad menjadi cabaran utama, namun memuji komitmen tinggi pemain dalam memastikan sasaran pasukan dapat dicapai.

“Kita menghadapi jadual yang sangat ketat dengan masa latihan yang singkat, tetapi pemain bekerja keras untuk mencapai objektif pasukan,” katanya. – Info X