KOTA KINABALU: Enam pemilik motosikal yang rosak akibat dirempuh kereta api hilang kawalan berikutan masalah brek ketika dalam perjalanan dari Tenom ke Kampung Pangi, semalam bakal mendapat motosikal baharu sumbangan Ketua Menteri.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Jamawi Jaafar yang berkongsi perkara itu melalui Facebook, berkata pemberian motosikal baharu itu dinyatakan Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri, Azrul Ibrahim yang menghubunginya, semalam.
Menerusi perkongsian ‘Train To Pangi’ di akaun Facebook beliau, Jamawi menyifatkan enam pemilik motosikal yang rosak dalam insiden itu sebagai ‘unsung hero’ kerana sanggup mempertaruhkan kenderaan mereka dalam usaha menghentikan kereta api yang mengalami kegagalan brek.
“Semalam saya telah dihubungi oleh Ketua Setiausaha Politik YAB Ketua Menteri Sabah DSP Hajiji Haji Noor, Tuan Azrul Bin Ibrahim yang menyatakan YAB Ketua Menteri telah bersetuju untuk menyumbangkan motosikal baharu bagi keenam-enam motosikal yang rosak dalam peristiwa kereta api kehilangan fungsi brek awal pagi kelmarin di Kampung Pangi, Tenom.
“Mewakili keenam-enam anak muda tersebut, saya merakamkan ucapan berbanyak terima kasih atas keprihatinan dan sumbangan ini,” katanya menerusi perkongsian berkenaan.
Jamawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, berkata insiden yang tular di media sosial itu menimbulkan banyak versi cerita, namun katanya insiden buruk mungkin berlaku jika tiada enam motosikal troli diletak di landasan kereta api sebagai halangan untuk menghentikan kereta api berkenaan.
“Banyak versi cerita yang timbul…cuma ringkasnya jika tiada enam biji motosikal troli yang diletakkan di landasan… kemungkinan bencana yang lebih besar akan berlaku apabila kelajuan kereta api tidak boleh dikawal oleh pemandu.
“Tahniah juga kepada pemandu kereta api yang tenang dan tidak panik mengawal keadaan… Kedudukan enam biji motosikal tersebut telah berjaya memperlahankan kereta api dan membolehkan pemandu mengawalnya..
“Terima kasih Unsung Hero enam anak muda pemilik motosikal troli dan pemandu keretapi.
“Kepada semua guru guru SK Pangi, semoga tidak lemah semangat untuk terus mendidik anak bangsa di pedalaman…Saya bangga dengan anda semua..,” katanya.
Ketika kejadian, kereta api terbabit membawa guru yang mengajar di SK Pangi.
Berdasarkan video tular, beberapa guru dalam gerabak kereta api berkenaan kelihatan takut sambil menangis dan berteriak apabila kereta api meluncur laju di atas landasan kerana hilang kawalan akibat masalah brek. – Info X